Saturday, November 27, 2010

Salam Aidiladha

Assalamualaikum WBT...

Hari ini 20 Zulhijjah 1431h = 27 November 2010 ... Genaplah 10 hari kita meraikan Hari Raya Aidil Adha. Tahniah kepada para hujjaj yang berjaya melakukan ibadah haji. Semoga kalian mendapat haji yang mabrur. Rindu untuk mengunjungi Baitullah lagi...

Tahniah juga diucapkan kepada mereka yang menyertai ibadah korban, bagi mereka yang belum berkemampuan untuk melakukan ibadah ini, tekadkan dalam diri sekarang juga untuk sama-sama menyertai menyertai ibadah korban pada tahun hadapan. 

Teringat perbualan dengan ayahanda (mertua) mengenai ibadah korban ni. Beliau berkongsi dengan kami tazkirah yang didengarinya, yang disampaikan oleh Imam masjid di kampung kami. Beliau mengatakan ramai di kalangan kita yang berkira dengan harga untuk berkorban lembu ni. Kita membuat perbandingan harga untuk satu bahagian lembu yang ingin dikorbankan. Lagi murah harga yang ditawarkan, lagi cepatlah kita membuat persetujuan untuk menerima pelawaan tersebut, tanpa melihat dahulu keadaan lembu itu.

Menurut beliau, kebiasaannya harga yang ditawarkan adalah mengikut saiz lembu. Lagi besar lembu, lagi mahal harganya. Maknanya lagi murah harga lembu lagi kuruslahlah binatang  yang ingin dikorbankan itu. Ramai yang berebut inginkan bahagian yang murah ini walaupun ada dikalangan kita yang begitu berkemampuan untuk dapatkan yang mahal sedikit. 

Sebelum saya meneruskan kalam, mari kita merenung sejenak apakah yang dimaksudkan dengan ibadah korban. Ibadah korban ialah menyembelih binatang ternakan seperti lembu, kerbau, unta dan kambing pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah), dan pada hari-hari tasyrik (11, 12 & 13 Zulhijjah).

Kenapa Islam menganjurkan ibadah korban ini? Sekadar suka-suka untuk menjamu selera dengan makanan yang mewah? Ingin bermegah dengan kekayaan yang dimiliki? Bukan sama sekali. Islam menganjurkan ibadah korban ini sebagai salah satu cara kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia mendidik kita untuk melakukan kebajikan, menunjukkan rasa syukur kepadaNya atas limpahan rezeki yang dikurniakan. Yang kaya tolong yang miskin, yang miskin tidak terus miskin akibat daripada ketidakpedulian si kaya. Maka, wujudlah suasana tolong-menolong dan berkasih-sayang dalam masyarakat kita. 

Ibadah korban yang dilakukan ini adalah persembahan kita kepada Pencipta kita. Jadi, tersangat beruntunglah mereka yang berusaha untuk persembahkan sesuatu yang paling terbaik untukNya kerana pada Hari Akhirat kelak, binatang korban ini akan datang kembali kepada kita. 

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menumpahkan darah (ibadat korban). Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.” (Riwayat al-Tarmizi)


Mengenai pengorbanan yang diterima Allah ini, saya teringat akan kisah Habil dan Qabil. Allah SWT memerintahkan supaya Nabi Adam mengahwinkan Habil dengan Iqlima dan Qabil dengan Lubuda. Apabila diajukan perintah ini kepada kedua-dua putera Baginda, putera yang bernama Qabil tidak bersetuju untuk dikahwinkan dengan Lubuda, pilihan ayahandanya kerana berpendapat Iqlima lebih cantik berbanding Lubuda. 

Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka perlu berkorban kepada Allah SWT, dan sesiapa yang diterima korbannya, dia berhak untuk membuat pilihan sindiri mahu berkahwin dengan siapa. Dipendekkan cerita, Qabil mempersembahkan sekarung gandum yang daripada tanamannya yang rosak dan busuk, manakala Habil pula memilih kambing yang paling disayanginya untuk dijadikan korban. Kedua-duanya meletakkan korban masing-masing ditempat yang disediakan. Selepas itu, turunlah api menyambar korban yang dipersembahkan oleh Habil, manakala korban Qabil langsung tidak disentuh oleh api tersebut. Ini bererti korban Habil lah yang diterima oleh Allah SWT. 

Inipati daripada kisah ini, menunjukkan Allah hanya menerima korban yang paling baik yang dipersembahkan oleh hambaNya. Jadi, usahlah kita tersangat berkira untuk berkorban kepada Allah. Kita sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi untuk menukar handphone baru setiap kali keluar model baru. Tapi, kenapa kita tidak sanggup mengorbankan sedikit wang kita untuk korbankan yang terbaik kepada Allah SWT? Ini adalah saham akhirat kita. Renung-renungkan...





No comments:

Post a Comment